Khamis, 24 Disember 2015

MAJALAH CEDOK - FINAL YEAR PROJECT USM


OLEH : NURHABIBAH BINTI NORDIN (UMMU HABIBAH NORDIN)

Pengurusan dan Penerbitan Majalah (YWP 314) merupakan projek tahun akhir pelajar jurusan Kewartawanan, Pusat pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia. Subjek ini diambil untuk memenuhi unit teras pelajar tahun akhir ini. Kuliah Pengurusan dan Penerbitan Majalah ini telah diambil untuk mempelajari kaedah penghasilan majalah yang menarik minat masyarakat supaya membaca dan menambah ilmu pengetahuan. Dalam menghasilkan sesebuah majalah, pelbagai kaedah telah dipelajari untuk menghasilkan sesebuah majalah dari zero kepada produk yang merangkumi kemahiran dan idea yang bernas kepada masyarakat.
              Selain itu juga, kaedah untuk merancang dan pengurusan sewaktu penghasilan majalah turut dipelajari dalam subjek ini. Kaedah mengenalpasti majalah yang ingin dihasilkan perlulah merangkumi tema, konsep, keunikan, sasaran jualan, stail penulisan dan nada majalah. Kesemua perancangan ini perlulah diletakkan di dalam kertas konsep sebelum memulakan penghasilan majalah. Perancangan perlulah dilakukan dengan teliti dan mendapat persetujuan bersama dalam ahli kumpulan. Dalam menghasilkan majalah ini, pelbagai masalah telah dihadapi semasa menghasilkan kertas konsep.
              Kertas konsep erlulah menggunakan penulisan akademik. Walaubagaimanapun, kumpulan kami iaitu Kumpulah 2 telah melakukan kesilapan dengan menulis kertas konsep pertama yang menggunakan stail lebih santai dan tidak menggunakan petikan daripada pemikir atau sarjana. Kami telah mengambil inisiatif untuk membaiki kesilapan ini. Antara inisiatif yang diambil adalah berbincang dengan rakan sekumpulan dan membahagikan tugasan masing-masing. Memandangkan nama majalah kami adalah Majalah Cedok dan bertemakan makanan, ketua kami telah menetapkan bahawa setiap individu perlulah mencari beberapa jurnal yang berkenaan dengan majalah makanan khususnya di negeri Pulau Pinang. Kumpulan kami telah melakukan beberapa penambahbaikan atas cadangan yang diberikan oleh Dr. Azman Azwan Azmawati. Beliau merupakan pensyarah yang telah diamanahkan untuk mengajar subjek Pengurusan dan Penerbitan Majalah kepada pelajar tahun akhir Komunikasi.
Selepas menghasilkan kertas konsep dan mengenalpasti tema dan konsep majalah, ketua kami telah membahagikan tugas setiap individu untuk menghasilkan 10 helai muka surat untuk buku dummy. Buku dummy adalah contoh atau model buku sebelum menghasilkan buku dan menjadi acuan dari keseluruhan proses penerbitan buku. (UPT Percetakan dan Penerbitan ITS, 2012) Seterusnya, mesyuarat telah diadakan untuk mengumpul semula buku dummy yang telah dihasilkan.
Langkah seterusnya, kami telah menemuramah sumber. Sumber yang telah saya temuramah adalah seorang usahawan telur pindang yang terkenal di negeri Johor iaitu Nordin bin Basiran. Manakala, 3 orang blogger yang terkenal di Malaysia juga telah ditemuramah iaitu Nina, Syukri Tahir dan Hafidz Iskandar. Sewaktu menemuramah sumber, saya tidak mengalami masalah kerana 4 sumber ini telah memberikan kerjasama yang baik. Saya telah melakukan temujanji dengan sumber sewaktu cuti semester dan mendapat persetujuan untuk menemuramah mereka. Mereka juga tidak memberikan tindakbalas yang negatif dan memahami bahawa maklumat yang akan saya peroleh adalah untuk tugasan Subjek Pengurusan dan Penerbitan Majalah.
Sebelum menembual sumber, beberapa perkara telah diambil kira untuk memastikan tidak berlaku kelompongan maklumat. Antara perkara yang menjadi timbang tara adalah soalan 5W 1H (who, where, when, why, what dan how). Selain itu, beberapa soalan telah dirangka sebelum menemuramah sumber. Soalan yang telah dirangka bertujuan mengelakkan kelompongan maklumat dan bersesuaian dengan maklumat yang ingin diperolehi. Sebarang penambahan soalan adalah bergantung kepada jawapan yang diberikan oleh sumber.
              Selepas menemuramah sumber, kami telah merancang untuk menyunting rencana setiap ahli kumpulan kami. Setiap individu perlulah menyunting sebanyak 3 rencana dan rencana yang telah disunting akan dihantar kepada editor untuk memastikan artikel tersebut boleh diletakkan di dalam majalah Cedok. Kumpulan kami telah memberikan kerjasama yang sangat baik dan memberikan idea yang bernas untuk memastikan penghasilan majalah kami berjalan dengan lancar dan teratur mengikut perancangan.
              Walaubagaimanapun, kami menghadapi kekangan masa sewaktu ingin mengadakan perbincangan. Kami mempunyai jadual waktu yang berbeza. Untuk memastikan setiap ahli kumpulan memberikan komitmen menghadiri perbincangan, kami akan memastikan setiap ahli mengosongkan jadual hujung minggu dan mewajibkan kehadiran mereka supaya tidak berlaku berat sebelah dalam pembahagian tugas.
 Namun begitu, terdapat seorang ahli kumpulan kami yang kerap memberikan alasan untuk tidak hadir perbincangan seperti alasan bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menghadiri perbincangan. Perkara ini amat membimbangkan kami sehingga kami telah mengambil keputusan untuk berbincang perkara ini dengannya. Pada mulanya kami telah dipersalahkan kerana dikatakan tidak memahami dirinya, tetapi kami telah mengatakan bahawa setiap individu bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing. Markah berkumpulan juga akan diberikan oleh kami mengikut skala dihujung semester, kami tidak mahu memberikan markah yang rendah kerana kurangnya penglibatan olehnya. Akhirnya, masalah ini selesai dan kami telah mendapat kata sepakat untuk mengadakan perbincangan di akhir kuliah Seminar Kewartawanan. Waktu perbincangan lain akan ditetapkan mengikut kekosongan jadual masing-masing.
Seterusnya, semasa penghasilan majalah Cedok ini, pelbagai perkara telah dipelajari dan dijadikan sebagai sebuah pengalaman yang berharga. Antaranya adalah perancangan perlulah dilakukan sebelum menghasilkan sesuatu perkara. Perancangan yang teratur akan menghasilkan majalah yang menarik minat masyarakat untuk membaca. Sekiranya sesuatu perkara dibuat secara sambil lewa, hasil yang diperoleh adalah tidak memuaskan dan memberikan kesan negatif kepada diri sendiri dan masyarakat.
Pengalaman seterusnya adalah sebelum membentuk sesebuah kumpulan, pemilihan ahli adalah penting. Pemilihan ahli adalah bertujuan memastikan sesebuah organisasi berjalan lancar dan teratur. Antara ciri-ciri ahli kumpulan perlulah rajin berusaha, tidak memberikan alasan sekiranya disuruh melakukan sesuatu pekerjaan, melakukan sesuatu tugasan dengan kemas dan memberikan idea yang bernas. Sekiranya menghadapi individu yang kerap memberikan alasan, perbincangan perlulah dilakukan untuk mengelakkan berlakunya masalah yang lebih berleluasa.


Kesimpulannya, Subjek Pengurusan dan Penerbitan Majalah ini telah memberikan pelbagai pengalaman berharga kepada pelajar Jurusan Kewartawanan, Pusat Pengajian Komunikasi. Hal ini disebabkan pelbagai perkara telah dipelajari terhadap kursus ini dari aspek penghasilan sebelum dan selepas pembikinan sesebuah majalah. Perkara yang dipelajari akan dimanfaatkan setelah tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia kelak. 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Cik Bib's Suka Travel Template by Ipietoon Cute Blog Design